arrowenvelopefacebookinstagramlinked-intwitteryelpyoutube

Mengapa Yelp Melarang Keras Peniaga Meminta Ulasan

Selama lebih daripada 13 tahun, fokus utama Yelp ialah untuk membantu para pengguna menemui perniagaan tempatan yang hebat. Salah satu faktor penting dalam proses berkenaan ialah dengan memberikan orang ramai akses kepada maklum balas hasil sumbangan warga tempatan yang tidak berat sebelah untuk membantu mereka membuat keputusan.  Keupayaan Yelp untuk mengetengahkan kandungan yang berkualiti merupakan asas kepada kejayaan kami, dan oleh yang demikian, kami melarang para peniaga untuk meminta ulasan ataupun memanipulasikan pengguna bagi mendapatkan ulasan.

Ketiadaan faktor berat sebelah merupakan kunci kepada kandungan kami yang berkualiti. Kerana itulah perisian automatik Yelp tidak mengesyorkan ulasan yang dipercayai telah diminta oleh para peniaga, memandangkan permintaan biasanya mengakibatkan timbulnya isu berat sebelah. Telah lama kami berpendirian tegas untuk mencegah tingkah laku meminta ulasan atau memanipulasikan pengguna bagi mendapatkan ulasan, dan walaupun pendirian ini kadangkala tidak begitu popular di kalangan para peniaga, kami sentiasa secara lantang bersuara tentang dasar kami dan sebab mengapa ianya penting untuk mengekalkan kepercayaan dan manfaatnya di Yelp.

Daripada meminta atau memberi insentif untuk mendapatkan ulasan, perniagaan harus membiarkan ulasan terkumpul secara organik. Cara terbaik untuk perniagaan mendapatkan ulasan yang baik adalah dengan memberi tumpuan kepada penawaran produk dan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang serta menggalakkan para pelanggan untuk meninjau ulasan Yelp yang telah mereka perolehi.

Memandangkan terdapatnya peningkatan trend dari segi permintaan ulasan secara agresif, kami komited untuk secara aktif mencegah tingkah laku ini daripada berleluasa. Terdapat beberapa syarikat pengurusan reputasi yang menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan ulasan bagi pihak para peniaga sebagai cara untuk memanipulasi dan meningkatkan kedudukan mereka, tetapi kami amat tidak menggalakkan perniagaan untuk menggunakan perkhidmatan ini, kerana perisian Yelp direka untuk menyingkirkan ulasan yang sedemikian. Sementara kami cuba untuk bekerjasama dan sekaligus mendidik industri ini berkenaan kelemahan dalam pendekatan mereka, kami tidak boleh menyokong tindakan syarikat yang terlibat secara aktif untuk meminta ulasan dan kami akan mendedahkan tingkah laku ini apabila ianya perlu untuk melindungi para pengguna kami. Untuk mendapatkan panduan bagi cara penglibatan yang terbaik di Yelp, sila lihat panduan yang dilarang dan dibenarkan untuk pemilik perniagaan.